It’s over, my love, Where are you?
2:34 AMBismillahirahmanirrahim,
Aku sedang belajar melupakan.
Melupakan itu tidak senang. Melupakan itu juga tidak susah. Melupakan itu perlu ikut pilihan hati. Melupakan itu pula tidak boleh dipaksa realiti.
Melupakan itu memang perlu dibuat.
Seperti suatu nanah yang ingin sekali dibuang dari diri. Sebab kalau tidak dibuang, mana mungkin kau bisa sembuh? Sebab kalau tidak dibuang, mana mungkin kau ada ruang untuk yang baru? Tanpa rasa sakit, kita tidak akan bersyukur apabila sudah sembuh. Kerana itu, aku tidak menyesal untuk sakit. Menyembuhkan dan melupakan itu suatu usaha yang akan disusuli pertolongan Dia yang Maha Esa.
Melupakan juga kadang-kadang mengelirukan.
Macam suatu permainan minda yang memerlukan strategi. Melupakan itu memang pelik. Asing, suatu entiti tidak diketahui. Kadang-kadang, melupakan membuat kau hilang identiti. Mencari-cari erti dalam masa yang sama cuba mengerti. Tanya pada diri, berbaloikah ini semua? Selepas semua risiko, selepas semua perjudian hati, selepas semua pelaburan jiwa. Tapi engkau jangan lah berhenti.
Melupakan pada mulanya sangat menyakitkan.
Pisau yang tajam menyiat-nyiat setiap kenangan menjadi cebisan sampah hati. Setiap lagu, setiap gambar, setiap senyuman malah setiap kata. Melupakan itu seperti menelan kopi pekat yang pahit. Masuk hingga ke tekak dan mencucuk deria rasa. Membuat kau bingung dan terkelu kata-kata. Ombak perasaan memukul tangkai hati setiap kali cubaan melupakan gagal. Pernah fikir kenapa melupakan yang buruk sukar sekali? Melupakan yang indah dan bahagia itu kadang-kadang terlalu mudah hingga tidak disedari. Tapi kalau yang buruk, setiap satu kata-kata, setiap emosi, setiap suasana, mesti hati ingat sekali. Mungkin hati sudah diprogram begini. Kerana seperti teori aku tadi, tanpa kesakitan tiadalah penawarnya. Antidot untuk hati yang tidak kental macam besi perlu selalu diberi.
Melupakan juga seperti kehilangan.
Kehilangan diri macam anak kecil. Atau seperti pesakit amnesia. Kadang-kadang, sesak hati berfikir tentang melupakan. Sayang, siapa tak sayang untuk melupakan? Kerana apabila melupakan, seolah-olah sebahagian diri diragut tanpa rela. Enggan bercerita kepada yang lain tentang melupakan kerana mereka anggap ini hal enteng. Tapi, hal hati tidak pernah hal enteng. Hal hati sangat kompleks kerana melibatkan hati sendiri. Mungkin sebab bukan hati mereka, maka mengapa perlu mengerti?
Tapi, akhirnya melupakan itu pasti membawa senyuman.
Kerana melupakan itu ibarat melepaskan sesuatu yang terhimpit di dasar hati. Dan akhirnya. Akhirnya, aku punya ruang. Ruang untuk bernafas, ruang untuk membuang dan ruang untuk mengerti. Kenapa ini semua terjadi, mungkin sudah jalan takdir. Walaupun masih berbisa parutnya, aku yakin aku mampu. Aku pasti aku mampu.
Bersama angin kemenangan dan bahu setinggi azam, aku selak buku baru kerana buku lama sudah tidak bererti lagi. Banyak lagi muka surat perlu dicatat, banyak lagi senyuman perlu diukir, banyak lagi tangisan perlu dititis. Tapi semua ini bukan untuk orang yang dilupakan itu.
Doakan aku berjaya melupakan, ya?
0 comments
What you say?