But my feelings for you haven’t changed, Maybe I’m the weird one, I thought as I struggled by myself
1:19 PM
Bismillahirrahmanirrahim,
Hari ini aku ada cerita. Ini cerita kawan aku. Ini cerita dia dan kekeliruaannya. Ini cerita dia dan bukan aku. Kalau sudi, dengarlah cerita kawan aku.
Beberapa tahun lepas, aku pun kurang pasti bila. Kawan aku tiba-tiba, kata dia sudah berjaya tanam.
"Tanam apa?" aku tanya kawan aku penuh hairan.
Dia jawab, tanam benih. Hmm, benih. Aku hanya anggukkan kepala bila dia cerita tentang benih cinta yang ditanam dia. Aku tanya kenapa kau tanam benih itu? Kawan aku kata, dia tak sengaja. Tapi, kawan aku nampak gembira betul. Macam-macam dia janji pada benih itu. Kawan aku kata dia nak semai benih itu setiap hari, dia nak siram benih tu hari-hari. Dia kata, benih ini lain. Kawan aku kata dia sudah cukup matang untuk jaga benih itu elok-elok. Walaupun aku tumpang gembira dengan berita benih yang baru ditanam itu, aku dapat rasa benih itu ada bahayanya. Aku sedar tapi aku tak sampai hati nak beritahu kawan aku tentang syak wasangka aku pada benih itu. Maka, aku diam dan aku tepuk belakang kawan aku kerana berjaya menanam benih cinta itu. Lagipun, benih itu tak sengaja ditanam bukan?
Masa pun berlalu. Macam angin yang datang menyinggah seketika di singgahsana. Aku pun lupa sebentar tentang kawan aku dan benihnya. Maklumlah, aku pun ada kehidupan aku sendiri. Bila aku teringat, aku pun cepat-cepat berjumpa kawan aku. Aku tanya tentang benihnya. Kawan aku tersenyum. Kawan aku kata benih itu dah mula bersemai dan bercambah. Sudah tumbuh akar-akar kecil dan batangnya sudah mula tumbuh. Tak percayalah!, tempelak aku pada kawan aku. Masakan sepantas itu benih itu bisa bercambah? Kawan aku kata, benih ini lain. Kerana benih itu benih cinta yang tumbuh mekar hanya pabila disiram kasih sayang. Benih yang subur kerana perasaan yg berkepul di lubuk hati. Oh, begitu. Hmm, lawa juga ya benih ini. Dalam diam aku menjadi sang pemuja benih ini. Terasa seronok sekali ingin mengetahui perkembangannya.
Hari-hari seterusnya, aku lihat kawan aku sudah begitu asyik dengan benih itu. Sehingga aku rasa dia leka. Dan aku lihat benih itu seolah-olah mengangkutnya jauh dari realiti dan menempatkan kawan aku di dunianya yang hanya penuh kebahagiaan. Acap kali, aku cuba tarik kawan aku untuk berdiri di tanah kembali. Tapi, kawan aku enggan. Dia kata benihnya membawa kebahagiaan. Benihnya meberi harapan, yang kawan aku juga bisa jadi seperti gadis lain dan benih mereka yg mekar. Dan dari hari itu, aku sedar. Benih itu punya propagandanya sendiri. Benih itu boleh bawa bahaya!
Aku sudah tidak tahan. Lalu, aku datang lagi mencari kawan aku. Aku lihat benih itu sudah semakin sihat bersama dedaunan hijau yang menemaninya. Ini tidak boleh jadi. Aku terjah pintu mahligai fantasi yang hanya wujud di mindanya, dan aku gulingkan dia dari takhta hatinya yang semakin lemas dengan persoalan. Marah betul kawan aku. Aku bagi amaran pada dia. Benih itu perlu dicantas segera. Kawan aku mengeluh, dia kata dia tahu. Dia tahu dia perlu buat sesuatu. Dan kawan aku berjanji, dia janji dia akan cantas benih itu bila dia rasa perlu. Aku terpaksa percayakan dia dan janji itu kerana dia kawan aku.
Kawan aku akhirnya ceritakan kisah benihnya yang tidak sengaja ditanam. Kawan aku kata, benih itu tertanam kerana "dia". Kawan aku kata "dia" macam bayang-bayang. Tak mungkin dapat dicapai dan hanya muncul kadang kala. Tapi, kawan aku kata dia bahagia kerana benih itu muncul kerana "dia". Kawan aku juga kata "dia" macam pelangi. Penuh kisah warna-warni dan selalu muncul bila kawan aku tidak menyangka.
Parahnya, kawan aku sudah betul-betul parah.
Ini semua salah benih tak guna itu.
Kesian, kawan aku. Dia ketawa dan tersenyum kerana benih itu. Dan dia juga menangis dan meraung kerana benih itu. Dan setiap kali si "dia" keluar dari tempat persembunyiannya di balik minda kawan aku, benih itu mula bercambah mekar dan hampir sempurna. Dan aku juga tewas seperti kawan aku. Kerana aku juga tidak mampu menyelamatkan kawan aku dari derita yang diundang oleh hatinya sendiri. Tahu tak apa yang paling sedih kawan aku pernah kata? Dia kata dia sudah tidak kisah jika "dia" tidak pernah sedar kewujudan kawan aku, kerana bagi dia, cukuplah dengan dia menjaga dan menyemai benihnya, hadiah pemberian si "dia" tanpa sedar.
Dan sampai sekarang, kawan aku masih tidak bersedia untuk cantas benih itu.
Tapi, aku rasa aku tahu kenapa. Kerana benih itu beri harapan kepada kawan aku. Benih itu membiarkan pelbagai senario singgah di minda. Benih itu penuh dengan "kalau". Benih itu hanya benih yang suci. Kerana benih cinta yang tidak ada peluang untuk mekar juga tetap digelar cinta.
Kenapa aku cerita tentang cerita kawan aku?
Mungkin sebab aku faham dia.
Patutnya dari dulu aku cantas sahaja benih itu. Bodoh.
0 comments
What you say?