It’s only cold for me, it’s so cold I try to block the hole in my heart but the wind keeps coming in

1:19 AM


Bismillahirrahmanirrahim,

Pernahkah anda ke mahkamah? Ya, mahkamah. Tempat seseorang dibicarakan. Tempat pelbagai kes-kes sosial, politik mahupun ekonomi dibicarakan. Ratusan manusia, puluhan kata, satu keputusan akhirnya. Itu mahkamah.

Mahkamah itu menakutkan. Bagi yang dituduh mahupun yang meuduh. Kerana tiada siapa tahu apa kesudahannya. Menangkah? Kalahkah? Salahkah? Betulkah? Mahkamah yang menentukan. Tiada yang di tengah-tengah. Betul atau salah. Hitam atau putih. Itu sahaja.

Aku telah pernah ke mahkamah.

Namun, mahkamah yang aku telah pergi lain. Berlainan sangat. Mahkamah aku hanya imaginasi. Hanya simbolik keperitan realiti. Mahkamah aku hanya berdindingkan minda, berlantaikan spekulasi dan berjurikan manusia sekeliling.

Ya, itu mahkamahku.

Bagaimana aku tiba di mahkamah ini? Entah. Ya, entah itu jawapanku. Entah kapan, tanpa aku sedari tempat dan masanya, aku telah diseret serta diheret, diseret dan ditahan tanpa belas kasihan oleh pegawai-pegawai halimunan yang kononnya menegakkan keadilan atas ketidak adilan aku ke muka pengadilan. Atas kes apa aku diheret ke sini? Itu soalku berulang kali. Namun, si pegawai-pegawai halimunan mendiamkan diri membuatku semakin dihimpit emosi.

Aku termangu. Terdiam, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Kesku semakin mendapat liputan semua. Ke mana sahaja aku pergi, berterbangan khabar angin terbentang luas mendedahkan ceritaku. Kritikan demi kritikan dilemparkan tanpa ada sedikit rasional dalamnya. Di setiap jalanan yang kulalui, terasa semuanya tahu kisahku. Terasa hinanya aku di mata manusia apatah lagi hidupan tidak bernyawa. Batu-batu di jalanan pun seolah-olah tahu semuanya. Ini paranoid? Atau ini fakta realiti?

Aku diam. Kerana aku tahu kenyataan yang aku bakal keluarkan akan boleh digunakan kembali ke atasku semasa hari perbicaran di mahkamah nanti. Walaupun aku tiada peguam bela yang termahal di dunia, aku masih punya sekelumit harapan untuk mendapat pengadilan. Sedikit-sedikit, aku mula menyusun strategi. Melepaskan dri dari pertuduhan yang membelit dan kembali mengusir habuk di atas namaku yang suci.

Hari perbicaraan tiba. Aku dikejutkan secara paksa dari penjara mindaku. Diheretnya aku ke kandang defendan. Aku si defendan yang kerdil, yang lain ialah si plaintif yang gah memfailkan pertuduhan. Hakim yang bergelar si arif lagi bijaksana pun tiba. Siapa hakim? Aku juga tertanya-tanya. Namun, seperti pegawainya, hakim juga sama halimunan. Tidak mampu aku lihat dan gapai. Pertuduhan dibaca. Aku tertunduk malu. Hinanya aku dituduh sebegini rupa. Namun, aku akur. Aku sudah berada di mahkamah ini. Tiada apa yang mampu mengubahnya lagi. Aku tiada peguam bela sedangkan aku lihat nun di sana, beratur sang pendakwa raya yang bersedia.

Evidens dikeluarkan. Berkepil-kepil alibi dipaparkan di tengah dunia. Rupanya, aku telah lama diperhatikan lagak seorang banduan. Kata-kataku dicatat, gerak-geriku dianalisis dan isi hatiku diinterpretasi dengan gaya mereka. Aku melutut lemah. Tewas, aku hampir tewas. Apa harus aku lakukan?

Masa berlalu. Jarum jam berputar tidak jemu. Meneruskan perbicaraan tanpa rasa. Aku masih di tempat yang sama. Di kandang kerdil si defendan, sambil mendengar sandiwara sedih si plaintif. Sedihnya, aku turut sama sebak mendengar kisah. Mengaku tentang kejahatan si defendan walau si defendan itu sebenarnya diriku. Hakim yang halimunan turut mengangguk setuju dan si juri sama sepakat memandangku penuh jijik.

Siapa juri? Juri itu manusia sekeliling. Juri itu tidak terlibat namun tetap terlibat. Juri begitu ramai. Tidak dapat aku tunding jariku ke mana-mana kerana mereka berada di semua arah. Di hadapan. Di belakang. Di kanan apatah lagi kiri. Aku terkandas. Di tengah juri yang terus menghimpit. Kata-kata juri terus terbang tepat mencucuk lubuk hatiku membuakkan darah kekecewaanku. Aku cuba bertahan. Demi sekelumit keadilan.

Aku tersilap.

Akhirnya, si plaintif menang besar. Terhempaslah dunia si defendan ke tanah atas kekalahannya. Aku dijatuhkan hukuman tanpa aku rela. Digantunglah aku dengan kehinaan nama dan kejatuhan maruah. Lemaslah aku dalam kesedihan dunia. Dan akhirnya matilah jiwa si Natasha Eliyana. Aku tewas terhadap imaginasi sendiri. Realiti yang meremukkan fantasi.

Namun, suatu benda yang pasti. Kebenaran masih samar.

Itu semua keputusan mahkamah, Apa mampu aku lakukan?

Mood :  t h o u g h t f u l -

You Might Also Like

0 comments

What you say?