Say that I’m talking crazy, I won’t remember this tomorrow anyway
7:37 PMBismillahirrahmanirrahim,
Aku rasa. Aku rasa dalam banyak-banyak jenis manusia, manusia yang berada di tengah-tengah yang paling rugi. Ya, bukan manusia yang berada paling bawah mahupun manusia yang berada paling atas.
Seperti biasa, manusia di atas lah yang paling bertuah. Mereka disanjung tinggi. Kadang-kala tanah yang mereka berjalan pun mungkin ada orang yang akan cium untuk mengikut jejak katanya. Manusia di atas mestilah manusia yang berjaya. Yang sering mengejutkan dunia dengan pencapaian bertaraf tinggi mereka. Yang sentiasa menggemparkan keadaan sekeliling. Yang sentiasa menjadi takat aras impian seseorang manusia lain. Atau seperti idola yang dicontohi perilakunya. Itulah untungnya menjadi yang di atas.
Tapi, siapa yang melantik mereka yang di atas?
Manusia yang berada di bawah. Seperti kedudukan mereka, mereka yang di bawah juga dipandang rendah. Atas pelbagai alasan mahupun sebab, mereka diletakkan manusia paling bawah. Diletakkan mungkin tanpa rela, mahupun kerana leka. Sebab satu atau sebab dua, mereka yang berada di bawah sering sahaja diperlekehkan. Dihina dan dicaci mungkin sudah menjadi adat kehidupan. Kesusahan yang dihadapi mereka mungkin sukar sekali untuk difahami.
Kesian, manusia yang berada di bawah.
Namun, apabila manusia yang berada di atas kecundang secara tiba-tiba, pelbagai perkara terjadi. Mereka terus dilayan seperti mereka yang berada di bawah. Malah mungkin lebih teruk lagi. Musuh-musuh mereka yang berada di atas tersenyum kelaparan melihat kejatuhan yang di atas kerana mereka sendiri telah terlalu lama cemburu melihat takhta ketinggian mereka di atas. Tertinggal lah yang berada di atas keseorangan tanpa sanjungan. Hina dan dina seperti mereka yang di bawah.
Tapi, manusia yang berada di bawah juga boleh menjadi yang di atas. Ya, mereka mampu. Dan apabila mereka yang berada di bawah naik ke atas, mereka akan dikejutkan dengan layanan bertaraf dunia. Setaraf dengan pencapaian yang menyebabkan mereka berada di atas. Semua mula tersenyum menerima mereka dengan tepukan serta kata-kata pujian yang sememangnya sudah sebati dengan bibir. Yang berada di bawah pun teruja dan akhirnya leka dengan kejayaan sendiri.
Sedangkan,
Sedangkan yang berada di tengah-tengah adalah yang paling rugi. Merekalah yang menyanjung mereka di atas dan mereka jugalah yang mencaci mereka yang berada di bawah. Tapi, tiada apa yang mereka dapat dari semua itu. Yang di tengah-tengah bak lalang yang ditiup angin. Ke kiri dan ke kanan bukan atas kehendak sendiri. Jika yang di tengah-tengah tersungkur menjadi yang di bawah, mereka hanya akan dipandang begitu sahaja. Jika yang di tengah-tengah, dapat menjadi yang di atas, mereka hanya dipandang sebelah mata. Kerana mereka yang di tengah-tengah.
Mereka biasa. Tiada keistimewaan. Itu pun bukan, ini pun bukan. Tersisih dan menyisih. Mampu ditarik ke kiri mahupun ke kanan. Yang di tengah-tengah seolah-olah terbuai dengan nikmat dunia. Khayal dimamah kegembiraan. Yang di tengah-tengah, boleh pergi ke syurga mahupun neraka. Pilihan di tangan mereka. Namun, mereka sendiri tidak sedar tentang itu. Kerana mereka terlalu sibuk memandang tinggi mereka yang berada di atas dan terlampau bangga menjatuhkan yang berada di bawah.
Lihat? Betapa ruginya yang di tengah.
Tapi, kenapa aku rasa aku ialah mereka yang berada di tengah?
Mood :
0 comments
What you say?